Kaum Ansar berkumpul di Saqifah Bani Sa’idah, mereka bermesyuarat tanpa mengetahui apa yang akan mereka lakukan. Hal tersebut diketahui oleh orang-orang Muhajirin, maka mereka berkata, “Kita meminta agar mereka datang kemari.” Abu Bakar berkata, “ Tidak, kitalah yang datang kepada mereka.” Maka orang-orang Muhajirin mendatangi mereka. Di antara orang-orang Muhajirin tersebut terdapat Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah, maka terjadilah perbicaraan. Sebahagian Ansar berkata, “Seorang pemimpin dari kami dan seorang lagi dari kalian.[1]Lalu Abu Bakar berbicara dengan panjang dan benar.
Dan di antara perkataan Abu Bakar,
“Kami pemimpinnya sementara kalian adalah menterinya,”
Sesungguhnya Rasul Allah SAW bersabda, mafhumnya
“ Para Pemimpin itu dari Quraisy.”[2]
Beliau bersabda,
“Aku mewasiatkan kepada kalian untuk berbuat baik kepada orang-orang Ansar, hendaknya kalian menerima orang yang berbuat baik dari mereka dan memaafkan yang berbuat salah dari mereka. ”[3]
Sesungguhnya Allah menamakan kami As-Sadiqiin (orang-orang yang benar) dan kalian Muflihin ( orang-orang yang beruntung)[4] Allah telah memerintahkan agar kalian bersama kami di manapun kami berada.
FirmanNya,
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar. [Surah at-Taubah ayat 119]
Dan ucapan-ucapan beliau yang lain yang benar dengan dalil-dalil yang kuat, maka orang-orang Ansar teringat akan hal itu dan tunjuk kepadanya, lalu mereka membaiat Abu Bakar.[5]
Seterusnya Abu Bakar RA mengeluarkan perintah kepada Usamah,
“Berangkatlah untuk melaksanakan perintah Rasul Allah SAW.”
Maka Umar RA berkata, “Bagaimana anda mahu meneruskan pasukan ini sementara orang-orang Arab bergolak di atasmu?”
Abu Bakar RA menjawab, “ Seandainya anjing-anjing bermain dengan gelang kaki wanita Madinah sekalipun, nescaya aku tidak akan membatalkan pasukan yang diizin untuk berangkat oleh Rasul Allah SAW.”[6]
[1] Yang berkata demikian ialah seorang khatib dari Anshar, namanya al-Hubab bin al-Mundzir. (Muhibbudin al-Khatib).
[2] Hadith ini ada di dalam Musnad at-Thayalisi, no. 926 dari Abu Barzah dan no. 2133 dari Anas, dan dalam kitab al-Ahkam dari Sahih al-Bukhari ( Kitab 93, bab 2 , 8/104-105) dari Muawiyah bahawa dia mendengar Rasul Allah SAW bersabda,
“Sesungguhnya perkara ini ada pada Quraisy, tidak seorang pun memusuhi mereka melainkan Allah menelungkupkan di atas wajahnya selama mereka menegakkan agama.”
Dan dari Ibnu Umar RA, Rasul Allah SAW bersabda,
“ Perkara ini senantiasa di tangan Quraisy selama tersisa dari mereka dua orang. ”
Dalam Musnad Imam Ahmad, 3/129 , cetakan pertama dari Anas bin Malik bahawa Rasul Allah SAW berdiri di pintu rumah di mana kami berada di dalamnya, beliau bersabda,
“ Para pemimpin itu dari Quraisy, sesungguhnya mereka mempunyai hak atas kalian….. ” dan seterusnya.
Imam Ahmad meriwayatkan dalam al-Musnad, 3/183, cetakan pertama, dari Anas, beliau berkata,
“Kami sedang berada di rumah seorang lelaki dari Ansar lalu Nabi SAW datang, beliau berdiri dan memegang daun pintu, lalu beliau berkata,
“ Para pemimpin itu dari Quraisy, sesungguhnya mereka mempunyai hak atas kalian….. ” dan seterusnya.
Imam Ahmad juga meriwayatkan dalam al-Musnad, 4/421 cetakan pertama dari Abu Barzah, dia menyandarkan kepada Nabi SAW bersabda,
“ Para Pemimpin itu dari Quraisy, jika mereka diminta mengasihi, maka mereka mengasihi, jika mereka berjanji, mereka memenuhi, jika mereka menetapkan hukum, maka mereka bersikap adil, barangsiapa dari mereka tidak melakukan itu, maka mereka mendapatkan laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia.” (Muhibbudin al-Khatib).*
*Hadith ini sahih kerana banyaknya syahid dan jalan periwayatannya. Silakan merujuk takhrij al-Irwa’ (Ustaz Mahmud al-Istanbuli.)
Tambahan : Allamah Al-Qari menyebutkan dalam syarahnya terhadap Syarah an-Nukhbah bahawa al-Hafiz berkata tentang hadith ini bahawa ia mutawatir. Hadith ini mempunyai lanjutannya,
لا يقبل منه صرف ولا عدل
“Tidak diterima darinya amal wajib mahupun amal Sunnah.”
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, an-Nasaie dan Dhiya al-Maqdisi dalam al-Mukhtarah ( Tambahan dari saudara-saudara dari Maktab al-Salafi.).
[3] Hadith ini diriwayatkan di dalam kitab Manaqib al-Anshar dari Sahih al-Bukhari (kitab 63 bab 11) dari hadith Hisyam bin Zaid bin Anas, dia berkata, Aku mendengar Anas bin Malik berkata,
“ Abu Bakar RA dan al-Abbas RA melewati sebuah majlis Ansar dan mereka menangis, yang nampak adalah bahawa hal tersebut pada saat Rasul Allah SAW sakit dan kemudian wafat, maka Rasul Allah bertanya,“Apa yang membuatkan kalian menangis?” Mereka menjawab, “kami teringat majlis Nabi SAW dari diri kami.” Lalu Abu Bakar datang kepada Nabi SAW dan menyampaikan hal itu kepada Nabi SAW. Anas berkata, “Maka Nabi SAW keluar dengan kepalanya yang dililit sepotong kain. Dia berkata, “Lalu Nabi SAW naik ke mimbar dan beliau tidak naik lagi selepas hari itu, Nabi SAW bertahmid dan memuji Allah kemudian beliau bersabda,
“ Aku berwasiat kepada kalian agar berbuat baik kepada orang-orang Ansar kerana mereka adalah orang-orang dekatku dan orang-orang kepercayaanku, mereka telah melaksanakan apa yang menjadi kewajipan mereka dan yang tersisa adalah apa yang menjadi hak mereka, terimalah dari orang yang berbuat baik dari mereka dan maafkanlah kesalahan orang yang berbuat salah dari mereka.”
Juga dalam hadith al-Bukhari ialah hadith dari Ikrimah dari Ibnu Abbas dan hadith Qatadah dari Anas dengan makna yang senada, serupa dengannya seperti di dalam Sahih Bukhari dari Sa’id al-Khudri, dan juga dalam Sunan at-Tirmizi dari Ibnu Abbas. (Muhibbudin al-Khatib).
[4] Dalam Surah al-Hasyr ayat 8 dan 9,
(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. [Surah al-Hasyr ayat 8-9] (Muhibbudin al-Khatib)
[5] Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam al-Bidayah Wa an-Nihayah, 5/242, menukilkan dari hadith Imam Ahmad, dari Humaid bin Abdur Rahman bin Auf az-Zuhri (anak saudara perempuan Amirul Mukminin Uthman) khutbah Abu Bakar di Saqifah Bani Sa’idah, di antara ucapannya ialah,
“Kaliannya telah mengetahui bahawa Rasul Allah SAW telah bersabda,
Seandainya manusia berjalan menempuhi sebuah lembah sementara orang Ansar melewati lembah yang lain, nescaya aku akan menempuhi lembah yang ditempuhi oleh orang-orang Ansar. [Hadis Riwayat Imam Bukhari] (tambahan dari Ust. Mahmud al-Istanbuli)
Sungguh kamu telah mengetahui wahai Sa’ad bahawa Rasul Allah SAW bersabda dan ketika itu kamu sedang duduk,
“Quraisy adalah pemimpin perkara (pemerintahan) ini, orang-orang baik dari kalangan manusia mengikuti orang baik dari mereka, dan orang-orang yang jahat dari kalangan jahat dari kalangan manusia mengikuti orang-orang yang jahat dari mereka.”
Sa’ad menjawab, “ Kamu benar, kami adalah para pendukung, sementara kalian adalah para pemimpin.”*
*Perawi-perawi ini semuanya tsiqah kecuali Humaid bin AbdurRahman. Hadith ini memiliki syahid-syahid yang menguatkannya. Lihat Silsilah al-Ahadith ad-Dha’ifah, no. 1156. (tambahan dari Ust. Mahmud al-Istanbuli).
[6] Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa an-Nihayah, 6/305 menukil daripada al-Hafiz Abu Bakar al-Baihaqi, hadith Muhammad bin Yusuf al-Firyabi al-Hafiz*, dari Abbad bin Katsir ar-Ramli**, salah seorang syaikhnya, dari Abdul Rahman bin Hurmuz al-A’raj***, dari Abu Hurairah RA, beliau berkata,
“Demi Allah yang tiada tuhan yang haq melainkan Dia, seandainya Abu Bakar tidak diangkat menjadi Khalifah, nescaya Allah tidak akan disembah lagi.”
Kemudian dia berkata kali keduanya dan kali ketiganya. Maka dikatakan kepada Abu Hurairah RA, “Cukuplah wahai Abu Hurairah.”
Abu Hurairah RA berkata,
“Rasul Allah SAW mengirim Usamah RA untuk memimpin 700 orang tentera ke Syam, ketika di sampai di Dzi Khasyab, Rasul Allah SAW wafat dan orang-orang Arab di sekeliling Madinah menjadi murtad, sahabat-sahabat Rasul Allah datang kepada Abu Bakar RA, mereka berkata,“Wahai Abu Bakar, batalkan mereka, engkau mengirim mereka melawan tentera Rom sementara orang Arab disekeliling Madinah telah murtad? Abu Bakar menjawab, “ Demi Zat yang tiada Tuhan yang haq melainkanNya, seandainya anjing-anjing berlari di kaki isteri-isteri Rasul Allah SAW, aku tidak akan membatalkan pasukan yang dikirimkan oleh Rasul Allah SAW dan aku tidak akan menurunkan panji perang yang dikibarkan oleh Rasul Allah SAW.”
Lalu Abu Bakar mengizinkan keberangkatan Usamah. Dan setiap kali pasukan tersebut melalui kabilah yang berniat untuk murtad, kabilah tersebut berkata, “Kalau kaum Muslimin tidak mempunyai kekuatan, nescaya pasukannya tidak akan diangkat berperang dengan Rom. Biarkan mereka sehingga mereka bertemu dengan orang-orang Rom. Maka pasukan Usamah bertemu pasukan Rom dan mengalahkan mereka, membunuh mereka serta pulang dengan selamat. Dan akibatnya banyak kabilah yang sentiasa di atas Islam. (Tambahan dari Muhibbudin al-Khatib).
*Imam Bukhari berkata, “Orang paling utama di zamannya.”
** Ibnu al-Madini berkata tentangnya, “ Tsiqah dan tiada masalah padanya.”
*** Salah seorang tabi’in yang wafat di Iskandariah.
No comments:
Post a Comment